Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Daerah Marang Disambut Penuh Penghayatan
MARANG, 29 Jun - Sekitar 400 jemaah hadir memeriahkan Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah peringkat daerah Marang 1447 Hijrah (H) yang berlangsung di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Rhu Rendang, baru-baru ini.
Majlis bermula seawal jam 6.30 petang dengan bacaan Surah Yasin dan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Pegawai Agama Daerah Marang dan bacaan yasin oleh Juara Tilawah Al Quran peringkat daerah Marang 1446H, Ahmad Syahir Yahya, sebelum para jemaah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Sambutan diteruskan dengan sesi utama iaitu perutusan khas Maal Hijrah Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan pentingnya umat Islam menghayati semangat hijrah secara menyeluruh dengan melakukan anjakan minda, sikap dan tindakan ke arah kehidupan yang lebih progresif dan diberkati.
“Pendekatan ini jugalah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membawa perubahan di Terengganu, terutamanya dalam merubah minda atau mentaliti kita melalui agenda Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” ujarnya ketika membacakan teks perutusan tersebut.
Majlis berkenaan turut dihadiri pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, ahli jawatankuasa masjid dan penduduk setempat yang rata-ratanya menyambut baik pengisian majlis berkenaan yang dianggap mampu menyemarakkan lagi semangat hijrah dalam kalangan masyarakat.
Program ditutup dengan doa awal tahun sebagai tanda permulaan kalendar baharu Islam yang membawa harapan kepada kehidupan lebih berkat dan dirahmati.