• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sang Penyu 'Lemau' Dibaham Gergasi

KUALA NERUS, 29 September - Terengganu FC terpaksa berputih mata apabila tewas 0-4 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2023, hari ini.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu, pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner melakukan perubahan ketara dengan sebahagian besar pemain utama direhatkan.

Sekalipun tanpa kelibat Ivan Mamut di barisan hadapan, Terengganu FC memegang penguasaan bola pada minit-minit awal permainan.

Tuan rumah mengancam kubu pelawat pada minit ke-21 menerusi rembatan Nurillo Tukhtasinov yang ditepis keluar oleh Sam Somerville.

Pada minit ke-26, Selangor FC melakukan serangan balas dan Yohandry Orozco melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Rahadiazli Rahalim untuk gol pertama pelawat.

Selangor melebarkan jurang antara kedua-dua pasukan pada minit ke-41 juga menerusi jaringan Orozco.

Bermula dengan rembatan Mukhairi Ajmal yang ditampan Rahadiazli, Orozco merampas bola dalam situasi kelam-kabut de depan gol sebelum mudah menolak masuk bola ke gawang yang terbuka.

Separuh masa pertama berakhir dengan Gergasi Merah mendahului 2-0.

Bersambung babak kedua, pelawat terus menggandakan asakan dalam keadaan tuan rumah masih kebuntuan jaringan.

Pada minit ke-51, Selangor FC menemui jaringan ketiga apabila Faisal Halim merembat umpanan Mukhairi dari dalam kotak penalti.

Sang Penyu hampir menemui jaringan pertama pada minit ke-69, ketika Habib Haroon mendapat peluang berdepan satu lawan satu dengan Somerville, tetapi peluang itu disia-siakan.

Gergasi Merah melengkapkan kemenangan bergaya dalam pertemuan ketiga menentang Terengganu FC apabila pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan menyumbat masuk gol keempat pada minit ke-81.

Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga dengan 52 mata, manakala Terengganu FC kekal di kedudukan keenam dengan 35 mata.

Selepas ini, Terengganu FC akan berkunjung ke Indonesia untuk menentang Bali United FC dalam saingan Piala AFC, pada 4 Oktober ini.


Tag:

Artikel Berkaitan