• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Segerakan Program Retreat Sebagai Persediaan PRU14- Ghazali




Penganjuran Program Retreat Kepimpinan Sayap-Sayap UMNO di Terengganu perlu dipercepatkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mengadakannya secepat mungkin agar kepimpinan lebih bersedia bagi memastikan kemenangan UMNO di Terengganu.

"Setakat hari ini, daripada 32 DUN di Terengganu, 30 peratus sudah pun selesai mengadakan Retreat Kepimpinan UMNO dan saya berharap bakinya dapat menyelesaikan secepat mungkin.

"Sebagai Exco Komunikasi dan Multimedia, saya amat berharap ianya selesai segera kerana PRU14 boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.Lagi cepat kita buat,lagi bagus kerana persediaan rapi mampu memberi kemenangan di satu-satu kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Retreat Pergerakan Wanita UMNO, Agensi Transformasi Rakyat serta Kepimpinan Masyarakat DUN Ajil, di Pulau Kapas, Marang, semalam.

Seramai 90 peserta menyertai Retreat kali ini bagi memantapkan persediaan untuk menghadapi PRU14 dan menambah majoriti undi di DUN Ajil.

Ghazali yang juga ADUN Ajil berkata, penekanan kepada kepentingan media sosial diberi keutamaan kerana jentera perlu mengetahui kekuatan serta peranan Facebook,blog dan twitter untuk menangkis tohmahan dari pembangkang.

"Kita kena pantas bertindak menggunakan media sosial ini dan pada masa yang sama, peranan media arus perdana juga sangat diperlukan.

"Ianya penting kerana publisiti melalui media arus perdana ini akan memberikan satu suntikan semangat dan motivasi kepada kepimpinan UMNO untuk melakukan yang terbaik dalam membela kebajikan rakyat di kawasan masing-masing,"katanya.

Tag: