• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Sektor Perladangan Buka Peluang Buat Tenaga Kerja Tempatan

KUALA NERUS, 31 Julai - Berdepan situasi semasa Covid-19 hari ini, sektor perladangan terutama industri kelapa sawit mungkin berpeluang melepaskan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pergantungan sepenuhnya sektor sawit kepada khidmat pekerja asing adalah sekitar 250 ribu pekerja 

"Sejak Covid-19 melanda, kita berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja dalam industri sawit kerana kita bergantung kepada tenaga pekerja asing, tetapi kita 'cover' sedikit demi sedikit dan mula bergantung kepada rakyat tempatan termasuklah dengan membekalkan mekanisasi serta automasi dalam pengurusan ladang.

"Melaluinya, kita berjaya kurangkan sebahagian ruang pekerjaan untuk diisi dengan rakyat tempatan. Sebab itu, kita terus buat promosi besar-besaran dari sudut peluang pekerjaan di ladang kepada rakyat yang menjanjikan pulangan lumayan sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kios Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hypermarket Wakaf Tembesu, hari ini.

Menurutnya, usaha itu turut membawa kepada peningkatan tenaga kerja tempatan dalam sektor perladangan. 

"Memang ada peningkatan, cuma angka tepat belum dapat dikumpulkan sepenuhnya daripada syarikat-syarikat terlibat.

"Tetapi pada masa yang sama, unjuran kerugian kita disebabkan kekurangan tenaga kerja ini adalah kira-kira RM6 bilion setahun berikutan kerajaan masih menutup sempadan kepada warga asing untuk masuk bekerja," katanya.

Jelasnya, ada beberapa pengecualian yang sedang dibincangkan pada peringkat kementerian untuk mendapatkan sekitar 30 ribu pekerja asing khusus bagi pekhidmatan penuaian buah kelapa sawit bagi menampung kekurangan tersebut.

"Namun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan melibatkan kementerian-kementerian lain dan kita mengkhususkan keperluan khidmat tenaga kerja itu hanya dalam bidang penuaian sahaja.

"Jumlah tenaga kerja dianggarkan yang masih ada dalam sektor perladangan ialah sebanyak 80 ribu pekerja yang masih lagi ada permit," katanya.

Terdahulu, Khairuddin pada April lalu telah menyuarakan saranan dan galakan kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan 32 ribu peluang pekerjaan dalam sektor perladangan.

Tambahnya, kementerian telah melaksanakan karnival kerjaya dan iklan secara besar-besaran termasuk menerusi laman web JobsMalaysia dan berharap rakyat terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mengambil peluang tersebut.

 

 

 


Tag: