• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sektor Pertanian Sasar 86 Program Tahun 2022

KUALA TERENGGANU, 14 Feb – Sektor pertanian Negeri Terengganu mensasarkan 86 program bagi tahun 2022 yang bakal dinikmati oleh warga petani, penternak dan nelayan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata semua susunan yang diatur ini pastinya akan bermanfaat kepada rakyat.  

‘’ Tidak guna kalau kita melakukan suatu perancangan, akhirnya perancangan itu berhenti sekerat jalan dan tidak sampai kepada rakyat. Tahun 2021 kita dapat selesaikan 93 program, kita ingat program akan berkurangan rupa-rupanya ada 86 program yang akan disempurnakan tahun ini.

‘’  kita tidak sekadar bekerja syok sendiri, menerima laporan-laporan yang bernada kosmetik tapi hakikatnya ia tidak sampai ke bawah. Ini bukan cara kami kerja. Kami bekerja dengan memastikan apa sahaja keputusan yang dibuat di peringkat dasar kerajaan, dilaksanakan di peringkat jabatan dan tuan-tuan dan puan-puan mendapat manfaat yang sebaiknya.’’ Katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyerahan Bantuan Covid-19 di Pusat Pertanian Bandar Batu Buruk Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, sepanjang tahun 2021 , sektor ini telah berjaya menyempurnakan 93 program, menyiapkan  45 projek dan menutup tahun pertanian negeri Terengganu dengan karnival  tahun pertanian pada  27-29 januari lepas di Pekan Jabi walaupun berdepan keadaan yang sukar.

‘’ Alhamdulillah, peningkatan sepanjang 2021 yang kita beri penekanan secara intensif untuk melihat sektor pertanian ini berada pada satu posisi terhormat,

Dalam pada itu menurutnya, dalam sidang dewan sentiasa memberikan penghargaan kepada khidmat bakti warga tani Terengganu.

‘’ Malah dalam majlis-majlis besar pun kita berikan penghargaan kepada segala keringat yang dicurahkan kerana tanpa mereka sektor pertanian tidak akan ke mana.

‘’ Inilah sektor yang benar-benar mendasar sampai ke bawah, berpijak di bumi nyata dan diceburi oleh kira-kira 70% rakyat Terengganu. Alhamdulillah, saya mendapat maklumat semua yang dijangkiti covid-19, sudah pulih seperti biasa dan terus berjaga-jaga dengan varian baru.’’ Jelasnya lagi.