• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Semua Masjid Di Terengganu Dibenar Solat Jumaat, Solat Jemaah

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau bermula 12 Jun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan selepas mendapat pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) Negeri Terengganu.

“Ia juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan, maka kita bersetuju untuk memperluaskan kebenaran solat Jumaat kepada semua masjid dalam negeri Terengganu.

“Kita juga membenarkan solat fardu lima waktu secara berjemaah diadakan di semua masjid dan surau pada tarikh yang sama iaitu 12 Jun atau Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau mengatakan, bilangan jemaah yang hadir adalah mengikut ruang keluasan setiap masjid dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Susunan antara ahli jemaah yang terdiri daripada anak mukim mesti dijarakkan satu meter.

“Individu yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema serta mereka yang mempunyai penyakit kronik tidak dibenarkan hadir.

“Kanak-kanak berumur lima belas tahun ke bawah dan warganegara asing juga dilarang hadir,” katanya.

Katanya lagi, semua yang hadir juga hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid setelah selesai solat.

“Ahli jemaah juga mesti membawa sejadah sendiri dan berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan surau,” tegasnya.

Bagi memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat, beliau menyarankan agar pihak masjid membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja.
 


Tag: