• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Seni Diorama : Antara Sejarah Dan Kenangan

KUALA TERENGGANU, 10 November - Pada pandangan pertama, ia mungkin nampak seperti kedai-kedai di tepi jalan yang anda dapat lihat di bandar dan pekan, sekitar Terengganu.

Tetapi lihat lebih dekat, maka anda akan menyedari sebuah model 3D yang dihidupkan dengan tekstur realistik daripada bumbung zink berkarat hingga cat putih yang terkelupas pada rumah kedai.

Karya seni kecil tersebut adalah campuran seni bina dan warisan mengambil inspirasi permandangan di Kampung Cina dan kedai lot di Bandar Besut, moden dan tradisional, dengan kisah dan kenangan tersendiri, dibina dengan tangan Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, minda kreatif di belakangnya.

Berasal dari Besut dan juga seorang ayah kepada tiga anak, Ihsan berkata, hobi sampingan ini bermula empat tahun lalu dengan membina rumah kampung tradisional, dilengkapi suasana persekitaran asal di kampung nelayan sekitar 1990-an.

“Saya bermula dengan membina rumah tradisional kecil dengan hanya bahan murah yang mudah didapati seperti batang aiskrim, lidi sate dan barang dari kedai RM2.

“Kemudian setelah berkongsi gambar projek di Facebook saya, ia mula mendapat perhatian, reaksi dan pertanyaan daripada orang lain kian membakar semangat saya untuk membawa hobi ini ke tahap seterusnya.

"Miniatur bernama Kedai Lot terdiri kedai elektronik, ‘Car Wash’ dan restoran semuanya inspirasi daripada pekerjaan dan memori kehidupan saya di Besut.

“Harga dan masa untuk membina diorama ini bergantung kepada skala dan saiz dikehendaki (1/43, 1/32, 1/64) dan bahan yang digunakan.

“Sebagai contoh, replika liang lahad ini berharga RM40 sementara Lot Kedai dalam lingkungan RM800 kerana bahan berkualiti tinggi seperti putty filler, cat, pvc board dan alat-alat lain,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut hobi diorama sebagai perniagaan sambilan, Ihsan mengulas, tawaran dan komisen untuk diorama kediaman tradisional telah datang negeri-negeri di seluruh Malaysia seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan banyak lagi.

"Pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga mengupah saya mencipta diorama bagi pameran berskala besar yang terdiri daripada Rumah Kampung mini.

“Projek terbesar yang saya laksanakan adalah komisen daripada sebuah agensi kerajaan dengan harga sekitar RM4000, iaitu persisiran pantai yang dipenuhi pokok bakau untuk menunjukkan kesan kakisan pantai.

“Anggaran pendapatan kasar kira-kira RM2000 sebulan menjual diorama bersaiz sederhana dengan harga RM200 hingga RM300," ceritanya.

Ihsan yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, membincangkan rancangan masa depannya untuk membuka kedai diorama dilengkapi dengan pelbagai alat dan bahan hobi tersebut untuk pendatang baru dan pakar bangunan miniatur di Terengganu.

Bagi mereka yang berminat, boleh menghubungi ‘Sam Diorama & Miniature’ di 013-7146510 atau Facebook di mohd.sam.samsam2710, Instagram di @sam_252252, dan Youtube di ‘Sam diorama Chanel’ untuk maklumat lebih lanjut.