• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sentiasa Sedia Dengar Keluhan Nelayan- Dr. Azman



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim sentiasa bersedia mendengar masalah dan isu nelayan di negeri ini.

Dr. Azman yang diamanahkan memegang jawatan tersebut sejak sebulan yang lalu telah mengadakan pertemuan bersama komuniti nelayan Seberang Takir semalam dan pelbagai keluhan dan maklum balas diterima.

Katanya, antara isu utama yang diketengahkan oleh nelayan di kawasan tersebut termasuk pencerobohan pukat tunda nelayan asing, perlesenan dan isu pemberian lesen ali baba, muara cetek dan benteng pemecah ombak, kurangnya sumber ikan di perairan serta penguatkuasaan undang-undang di laut.

“Terkedu saya bila seorang nelayan dalam usia emas memaklumkan, inilah kali pertama dalam hidup dapat jumpa dan berdialog dengan Exco Pertanian. Saya sedia menjadi pendengar setia masalah dan isu nelayan yang telah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu,” ujarnya.


Katanya, segala permasalahan nelayan tersebut akan cuba diselesaikan di peringkat negeri serta dipanjangkan kepada Menteri Pertanian dalam masa terdekat.

“Tak semua aduan kita mampu jawab dengan penyelesaian segera kerana sebahagian keluhan dan sesetengah masalah berada di dalam bidang kuasa kerajaan pusat. Sebahagiannya pula memerlukan pindaan kepada peraturan perikanan sedia ada.

“Dalam masa yang sama, ada beberapa aduan berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri untuk kita bertindak, “ ujarnya.

Menurut Dr. Azman, berdasarkan kedudukan geografinya, nelayan Terengganu sebenarnya paling terdedah kepada isu pencerobohan nelayan asing berbanding dengan nelayan negeri-negeri lain.

“Justeru, satu perhatian khusus dari segi penguatkuasaan perlu dengan tindakan drastik dan berkesan. Lama mereka memendam rasa melihat khazanah laut milik negeri dikaut dengan rakus tanpa mempedulikan undang-undang oleh nelayan asing.

“Antara puncanya ialah kerana pemilikan lesen bot oleh individu yang mempunyai kedudukan istimewa dengan kerajaan sebelum ini dan kemudiannya dijadikan ali baba kepada nelayan asing.,” ujarnya.

Tag: