• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Seru Keterlibatan Dalam Aktiviti Kesukarelawanan

KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Anak-anak muda diseru untuk melibatkan diri dalam komuniti dan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, anak muda perlu menjadikan diri mereka dekat dengan masyarakat, bukannya hanya meluangkan masa di media sosial semata-mata.

Menurut beliau lagi, partisipasi golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan menjadikan mereka seseorang yang bertanggunggjawab, cakna kepada masyarakat dan sering keterdepan dalam setiap aktiviti.

“Kita kena jadi anak muda yang diingati oleh masyarakat, biar perginya kita akan disebut-sebut oleh masyarakat. Bukannya tidak diendahkan sama ada kita ada atau pun tidak.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas penganjuran program yang sangat baik ini dan saya puji kesungguhan mereka untuk menghidupkan sukan-sukan sunah Rasulullah SAW iaitu memanah dan dua lagi, berkuda serta berenang.

“Kita boleh jadikan aktiviti-aktiviti ini sebagai salah satu medan dakwah, medan dakwah mestilah dipelbagaikan dan melalui pelbagai platform untuk kita mengajak seramai mungkin manusia berbuat  kebaikan,” ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program Bulan Dakwah 2020: Street Siasah Sihat dan Cantik anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Bakti Hawa DUN Ladang (BELLA) di Gelanggang Futsal DUN Ladang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan supaya golongan beliawanis mengambil peluang untuk turut memanfaatkan Bajet Terengganu 2021 yang diumumkan kerajaan dengan peruntukan dua juta untuk sukan.

Zuraida bagai manapun mengingatkan bahawa aktiviti bersukan, perlu dijalankan dalam keadaan yang patuh syariat termasuklah melibatkan pengasingan antara jantina di samping soal pakaian yang patuh syariah.

Wakil BELLA, Tengku Shahidah Tengku Ahmad pula menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada kelab tersebut untuk menganjurkan aktiviti kepada para beliawanis.

“BELLA merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar, bertujuan untuk menjadi platform anak muda menjalankan aktiviti kebajikan, kesukanan di samping menjalinkan ukhuwah.

“Kita membuka keahlian kepada semua wanita muda dan semua aktiviti kita diasingkan berdasarkan jantina aktiviti, menjadikan wanita lebih bebas di samping dapat menjaga aurat dan pergaulan," katanya.