• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Shabery Sangkal Dakwaan Bekas TPM Isu Persempadanan Semula


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menyangkal dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa persempadanan semula kawasan pilihanraya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Menurutnya, persempadanan semula itu bukan hanya dilakukan sekarang malah dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

“Persempadanan semula kawasan pilihanraya itu sangat penting untuk memudahkan pengurusan sesebuah kawasan yang luas dan kepadatan penduduk yang tinggi.

Katanya, jika dilihat di sesetengah kawasan yang mempunyai pengundi-pengundi ramai seperti di Kapar, Selangor tanpa persempadanan jumlah pengundinya boleh meningkat sehingga 160,000 orang bagi satu kawasan Parlimen.

Shabery berkata, ianya jelas tidak munasabah kerana jumlah yang terlalu besar tidak praktikal untuk sesiapapun bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Pada masa ini, Parlimen Kapar mempunyai sejumlah 146,000 orang pengundi yang berdaftar,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pegawai Seranta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pemaju Masyarakat Risda di Resort World Kijal (RWK), Kemaman semalam.


Menurut Shabery, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa persempadanan semula kawasan pilihanraya dibuat untuk memberi kelebihan untuk Barisan Nasional (BN) dengan menambah majoriti BN di kawasan yang menang tipis pada PRU13.

“Hasil lawatannya ke Pulau Ketam, Kapar baru-baru ini beliau diberitahu oleh penduduk di sana bahawa Ahli Parlimen kawasan itu yang disandang pembangkang tidak pernah sampai ke pulau berkenaan,” katanya lagi.

Tag: