• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau

KUALA TERENGGANU, 23 November - Kawalan dan pemantauan terhadap keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek yang akan dilaksanakan kelak antara usaha dan penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu bagi memanfaatkan sepenuhnya industri petroleum termasuk sektor hiliran bagi kepentingan rakyat dan negeri ini.

Jelasnya, PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian.

“Bagi industri petroleum dan gas sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan di dalam negeri ini.

“Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada gas dan petroleum dan gas juga boleh berkembang  seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC),” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, bagi syarikat anak tempatan pula, kerajaan negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS.

“TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak- anak negeri Terengganu dan saling bekerjasama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan.

“Peranan TPC yang menjadi medium kerajaan negeri bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dengan memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Joint Working Committee (JWC) yang mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penetapan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di negeri ini perlulah terdiri daripada rakyat negeri Terengganu.

“Secara tidak langsung pelaksanaan projek berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan petrokimia ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu,” jelasnya.

Katanya, peluang pekerjaan yang tersedia akan ditambah nilai dengan latihan bagi memastikan tenaga kerja ini berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri.

“Dengan penambahbaikan berterusan secara komprehensif dan kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberikan hasil yang positif serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan Terengganu terutamanya menerusi pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.