• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sidang DUN: Wujud 'Task Force' Bagi Pemutihan Lot Industri

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri telah bersetuju melaksanakan proses pemutihan atau pelucutan hak terhadap lot-lot industri yang tidak dibangunkan, terbiar dan melanggar syarat di kawasan perindustrian yang diberi milik di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, bagi menjalankan tindakan pemutihan tersebut, kerajaan negeri akan mewujudkan satu Jawatankuasa 'Task Force' untuk memantau dan mengemaskini maklumat dan data-data serta proses tindakan pelucutan hak.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Pengarah Tanah dan Galian Terengganu sebagai Pengerusi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri,  Pengarah PLAN Malaysia, semua Pentadbir Tanah dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan.

 “Di peringkat Jawatankuasa Task Force, proses pemutihan ini  melibatkan situasi pelanggaran syarat nyata tanah setelah pemberi milikan yang sepatutnya dibangunkan dalam tempoh ditetapkan.

“Ini termasuk pelucutan hak disebabkan oleh tunggakkan sewa atau cukai tanah yang membolehkan Pentadbiran Tanah Daerah untuk memulakan prosiding bagi tujuan pelucutan hak tanah tersebut. Ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang melalui Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 56/1965) Seksyen 127 iaitu tanggungan untuk pelucuthakan kerana pelanggaran syarat dan Seksyen 100 pelucuthakan kerana tunggakan sewa atau cukai tanah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet) hari ini.

Tambahnya lagi, fungsi dan peranan Jawatankuasa Task Force ini juga memantau dan mengemaskini maklumat dan cita-cita industri yang bermasalah di semua kawasan perindustrian negeri Terengganu termasuk mengkaji dan menentukan keadaan pelucutan hak mengikut perundangan yang berkuatkuasa.

“Mereka juga akan melaksanakan tindakan perlucutan hak ke atas lot-lot industri yang tidak dibangunkan, tidak menjelaskan bayaran premium dan sebab sebab lain yang membolehkan pelucutan hak tanah.

“Di samping itu, Jawatankuasa Task Force ini juga telah mengenal pasti lot-lot industri dan telah meneliti situasi pembangunan dan pengoperasian kilang-kilang  oleh syarikat-syarikat yang telah diluluskan pemberi milikan sama ada aktif atau tidak aktif di semua daerah,”ujarnya.