• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Spesifikasi Velodrom Azizulhasni Ditetapkan KBS Pada 2009

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Berikutan pendapat disuarakan Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Mazlan Md Jali berkenaan Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah tampil memberi penjelasan.

Menurut Wan Sukairi, projek yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 2009 itu merupakan milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan Persekutuan ketika itu.

"Ini projek yang telah ditetapkan lama dahulu jadi spesifikasi dan hal-hal berkaitan telah diputuskan pada peringkat KBS sebab mereka pemilik projek itu. 

"Cuma, apabila kita mengambil alih pentadbiran negeri Terengganu pada 2018, kita berusaha supaya pembinaan velodrom ini dilaksanakan," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tambahnya, beliau turut hadir ke tapak projek berkenaan pada November lalu dan mengakui kewujudan isu-isu yang dibangkitkan Mazlan.

"Kita dimaklumkan, begitulah keadaannya kerana ia dibina dengan tujuan untuk latihan sukan berbasikal di Terengganu.

"Tiada tempat penonton, bumbung dan laluan masuk ambulans serta atlet.

"Kita juga minta dibuat satu pengubahsuaian supaya ambulans boleh masuk ke dalam sekiranya berlaku kemalangan dan buat pintu masuk di sebelah bawah.

"Tetapi, ia melibatkan isu perubahan spesifikasi dan bajet, dalam bahasa mudahnya kita terpaksa terima sahaja apa yang telah dibuat itu dengan sedikit cadangan penambahbaikan daripada kita," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri telah mengazetkan tanah seluas 4.5 hektar dan tapak velodrom itu hanya mengambil separuh dari keluasan tanah yang ada.

"Maksudnya kita ada banyak ruang lagi yang boleh digunakan," katanya.

Untuk rekod, projek bernilai RM11.8 juta itu juga pernah ditangguhkan berikutan bantahan penduduk setempat tentang pengambilalihan tanah pada tahun 2010.

 


Tag: