SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek

KUALA TERENGGANU, 24 April – Seramai 11 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Terengganu berjaya meraih keputusan tertinggi, Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, peningkatan cemerlang berbanding hanya 8 orang pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata pencapaian ini menggambarkan keupayaan luar biasa calon tahun ini. 

“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (Gred A+) dalam semua mata pelajaran meningkat dari 8 calon pada tahun 2023 kepada 11 calon pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan prestasi calon secara keseluruhan turut menunjukkan peningkatan. 

“Nilai Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2024 adalah 4.31 mata berbanding 4.41 mata pada tahun 2023,” katanya, merujuk kepada pengurangan sebanyak 0.10 mata yang menunjukkan pencapaian lebih baik.

Menurut beliau, pencapaian Terengganu juga melepasi purata nasional. 

“Gred Purata Negeri juga mengatasi Gred Purata Nasional dengan nilai 4.31 berbanding 4.49,” ujar beliau.

Tambah Rosli, jumlah calon cemerlang yang meraih A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran juga bertambah. 

“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang meningkat dari 464 calon kepada 532 calon.

“Peningkatan sebanyak 68 calon,” jelas Rosli

Tambah beliau lagi, pencapaian calon di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing menunjukkan peningkatan, namun jurang antara kedua-duanya turut melebar. 

“Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.10 mata manakala luar bandar meningkat sebanyak 0.08 mata. 

“Jurang pencapaian melebar kepada 0.70 mata,” katanya.

Rosli turut menyatakan sebahagian besar calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran. 

“Seramai 11,087 calon (66.41%) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran

“Peningkatan berbanding 64.03 peratus tahun lalu," ujarnya.