• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

SUK Terengganu Tekad Pertahan Kejuaraan

Wan Nawawi menyerahkan bendera Terengganu kepada Tun Faisal sebagai simbolik penyertaan pasukan SUK Terengganu di Sukan SUK SeMalaysia di Johor, bermula 22 September ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail
Pasukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu berazam untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Sukan SUK SeMalaysia di Johor yang berlangsung selama lima hari bermula 22 September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, berkata pasukan yang dianggotai 151 atlet dengan diketuai Timbalan pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak melakukan persiapan lebih awal bagi mencipta sejarah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Katanya, sasaran pada kali ini untuk mengekalkan kejuaraan dengan mempertahankan tiga pingat emas atau lebih sepertimana yang dihasilkan di kejohanan Sukan SUK SeMalaysia Pulau Pinang dua tahun lalu.

“Saya lihat pasukan SUK Terengganu mempunyai kelebihan tersendiri pada kejohanan kali ini, ramai pelapis baru akan beraksi selain semua atlet bola jaring dikekalkan.


“Dua tahun lalu, kita dapat menggenggam emas dalam sukan golf, bola jaring dan juga badminton. Oleh itu kita berharap dan yakin apa yang dicapai itu akan dikekalkan atau lakukan lebih baik,” katanya.

Wan Nawawi turut memberitahu, kejayaaan pasukan Hoki Terengganu (THT) yang  muncul juara buat kali ketiga berturut-turut dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 dan pasukan T-Team FC yang layak ke separuh akhir antara pendorong untuk mereka mengekalkan kejuaraan.

“Ramai pihak mengakui, Terengganu sememangnya hebat dalam bidang sukan dan juga pendidikan, apa yang dibanggakan orang ramai itu menjadi suntikan semangat untuk dikekalkan supaya terus mengharumkan nama Terengganu,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera dan Pakaian Sukan SUK Se Malaysia, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan),  Zainal Abidin Hussin.

Sebanyak lapan jenis bidang sukan akan dipertandingkan iaitu ping-pong, boling, badminton, bola sepak, bola jaring, golf, dart dan sepak takraw.  

Tag: