• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sukan Permotoran Dihentikan Sementara - Wan Sukairi

SETIU, 17 Oktober- Kerajaan negeri mengarahkan penganjuran semua acara melibatkan aktiviti sukan permotoran dan kereta di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak dihentikan buat sementara waktu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata arahan yang berkuatkuasa dua hari lalu dilaksanakan susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang pelumba kereta drag Muhamad Hafez Jamal Jamaluddin ketika menyertai perlumbaan Battle Of The Kings (BOTK) 2022 kelmarin.

Katanya, semua aktiviti di litar terbabit diarahkan dihentikan serta-merta kelmarin dan akan dibuka semula selepas semua hasil laporan dan aspek keselamatan di litar ditambah baik.

“Mewakili kerajaan negeri, saya merakamkan salam takziah kepada keluarga arwah dan kita sangat kesal dengan apa yang berlaku dan ini merupakan insiden pertama kali libatkan kematian di litar ini.

“Kita jangka akan terima laporan berkaitan insiden terbabit daripada penganjur hari ini (semalam).

“Sebaik terima laporan, kita akan kaji dan lihat aspek keselamatan yang perlu diperbaiki serta ditambah baik dari segi kemudahan dan penganjur sendiri,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada enam pemenang dalam pelbagai kategori dan turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang diiringi oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Wan Sukairi berkata, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak penganjur untuk mendengar sendiri tentang apa yang berlaku.

Katanya, dari segi permit kebenaran dan sebagainya tidak ada masalah kerana penganjur telah mendapat kebenaran daripada pesuruhjaya sukan negeri.

Dalam kejadian kelmarin, pelumba drag dikenali Apeh Jamal, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan drag BOTK 2022 pada 11.35 pagi akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Mitsubishi Lancer Evo yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas melepasi trek perlumbaan sebelum merempuh sebatang pokok.