• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

SUKMA 2018: Lima Atlet Pencak Silat Mara Ke Pusingan Akhir

Ustaz Ridzuan Hashim (tengah) memberi kata semangat kepada anak angkatnya, Pasukan Pencak Silat Terengganu.
Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA KANGSAR - Lima atlet Pasukan Pencak Silat Terengganu mara ke pusingan akhir, sekaligus menepati sasaran empat pingat emas sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, beliau amat gembira dan berharap agar apa yang disasarkan sebelum ini menjadi kenyataan.

“Saya percaya anda semua mampu membuktikan yang kita orang Terengganu ini sememangnya ’nelang’, kita boleh,” ujarnya.


Beliau yang juga merupakan 'bapa angkat' pasukan pencak silat negeri berkata demikian dalam satu taklimat ringkas yang diadakan selepas sesi pertandingan, semalam (19 September).

“Saya mendoakan agar kelima-lima atlet yang berjaya mara ke peringkat akhir ini akan membawa pulang lima emas pada kali ini insya-Allah.

“Setakat ini kita telah memperolehi dua perak dan dua gangsa, esok giliran emas pula.

“Kita mampu sebenarnya, apa yang penting adalah kena memperkuatkan mental kita, dan cuba tunjukkan apa yang telah dipelajari,” tambahnya.


Kejohanan dwi tahunan ini diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar bermula 12 September dan berakhir pada 22 September 2018 dengan menawarkan 26 pingat emas, 26 pingat perak dan 42 pingat gangsa.


Tag: