• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SUKMA 2018: Pasukan Perahu Layar Bakal Sumbang Pingat

Ustaz Ahmad Shah Muhamed (dua dari kanan) melawat pasukan perahu layar negeri untuk memberi semangat.
Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU - Kerajaan optimis bahawa atlet pasukan perahu layar bakal menyumbang pingat kepada pasukan Negeri Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, seramai 25 orang atlet keseluruhannya telah membuat persiapan bagi menghadapi temasya SUKMA yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurutnya, berdasarkan persiapan yang telah diaturkan oleh ketua jurulatih, beliau yakin pasukan perahu layar sudah bersedia untuk menempuh pertandingan yang akan berlangsung pada pertengahan September ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu lawatan di pusat latihan pasukan tersebut di Duyong Marina, Pulau Duyong, semalam (30 Ogos).


Ustaz Ahmad Shah Muhamed yang juga merupakan bapa angkat Pasukan Perahu Layar Terengganu berkata, latihan telah dibuat di tempat pertandingan iaitu di Lumut, Perak selama dua minggu.

Menurut beliau, berdasarkan persiapan yang telah diaturkan oleh Ketua Jurulatih, beliau yakin pasukan Perahu Layar sudah bersedia untuk menempuh pertandingan yang akan berlangsung pada pertengahan September ini.

"Berbekalkan pengalaman yang lepas, saya yakin pasukan kita mampu meningkatkan lagi pencapaian pada kali ini.

"Pada SUKMA yang lepas, pasukan perahu layar memberi persembahan yang baik dengan pungutan 4 pingat emas dan 2 pingat perak.

"Saya tidak nampak satu halangan yang besar untuk kita perolehi pingat emas yang banyak, ditambah lagi dengan persiapan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh jurulatih dan para atlet.

"Bagi saya, halangan yang sebenar ialah diri kita sendiri, sekiranya kita boleh perasaan lemah dan kekurangan, ianya sudah cukup untuk kita memacu diri kita kepada kejayaan.

"Yang penting, semua atlet mesti ada sikap ingin mencapai kejayaan dan kesungguhan mestilah diterjemahkan dengan usaha yang gigih dan mematuhi jurulatih pasukan."

"Saya optimis pasukan perahu layar kali ini akan menghadiahkan bilangan pingat emas  yang lebih besar kepada Negeri Terengganu dari tahun-tahun sebelum ini," ujarnya.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Ibni Amin Busu, Ketua Jurulatih Pasukan Perahu Layar Terengganu, Abdul Rani Idris dan Pengurus Pasukan Perahu Layar Terengganu, Nor Sapinah Ngah.

Tag: