• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Saran Kerajaan Negeri Optimumkan Potensi Bandar Baharu

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri mengoptimumkan potensi bandar baharu yang telah dirancang supaya dapat dibangunkan.

Titah baginda, ianya untuk memastikan ruang bandar yang kondusif dan tersusun dapat direalisasikan kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Kaedah pembangunan secara penswastaan juga perlu diperhalusi dengan lebih teliti bagi memastikan galakan serta promosi pelaburan pembangunan mendapat sambutan daripada pihak swasta sehingga pelaksanaan bandar-bandar baharu ini dapat dicapai. 

“Beta amat yakin dengan adanya penglibatan pihak swasta yang lebih aktif dalam pembangunan ini mampu memastikan keberhasilan agenda perbandaran yang berdaya huni dan maju dapat dicapai,” titah Sultan Mizan.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman semalam.

Baginda bertitah, proses urbanisasi yang berterusan adalah merupakan salah satu agenda yang perlu dititikberatkan.

“Proses ini melibatkan kerjasama semua pihak dalam memastikan anjakan paradigma bandar berasaskan dimensi bersepadu pembangunan mampan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar.

“Dalam usaha untuk mewujudkan bandar-bandar baharu sebagai sokongan kepada bandar sedia ada, pelbagai aspek baharu perlu diteroka dan diberikan fokus. 

“Beta berharap agar elemen-elemen perbandaran utama seperti elemen bandar pintar, bandar selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon dititikberatkan dan diperhalusi bagi tujuan pemakaian di peringkat negeri dan peringkat tempatan secara berterusan,” titah baginda.