• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Suri Rumah Tabah Jaga Anak Ketika Suami Hilang Di Laut

KUALA NERUS, 1 Ogos - Tragedi tanpa titik noktah adalah situasi yang dialami isteri kepada Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang hilang di laut mendapat perhatian dan sumbangan kerajaan negeri.

Menemubual suri rumah tersebut, Noorfadillah binti Abdul Rashid, 31, berkata, peristiwa sedih ditimpa sejak bulan Mei sehingga hari kini masih tiada perkhabaran tentang kehilangan bapa kepada dua orang anak itu.

Lebih memilukan, Noorfadillah terpaksa menjaga kedua-dua anaknya bersendirian tanpa suami tersayang disisi hampir tiga bulan.

“Operasi mencari sudah dihentikan dan saya kini tinggal bersama bapa kandung saya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir,” luahnya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri melaporkan Wan Mohd disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Melihat kesusahan dialami itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Al-Hikmah semalam telah menziarahinya disamping lima buah keluarga yang terkesan dan memerlukan bantuan.

“Cuma keluarga Noorfadillah ini mendapat lebih perhatian disebabkan kehilangan ketua keluarga yang menyara mereka, pihak PAS kawasan ini turut menyampaikan sumbangan.

“Insya-Allah, kita dari pihak kerajaan akan sentiasa membuat susulan kerana dia merupakan suri rumah yang semestinya hendak menyara dua anaknya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi NGO Al-Hikmah, Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi memberitahu kehadiran pihaknya adalah menyampaikan amanah hasil daripada sumbangan orang ramai.

“Bukan wang kami, wang orang ramai juga, terima kasih juga atas kerjasama Mohd Fadhil yang memberi maklumat mereka yang terkesan di kawasan beliau,” tambahnya.