• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

‘Syukur, Alhamdulillah…Akhirnya Dapat’

DUNGUN, 28 Mac- Rata-rata penerima notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Batu Putih, Mukim Kuala Dungun mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.

Seorang penerima, Wan Abdullah Wan Mat, 60, berkata, dia sangat gembira kerana permohonan yang dibuat pada tahun 1985 akhirnya diluluskan.

“Alhamdulillah, syukur sangat kerana penantian hampir 36 tahun untuk memiliki tanah ini akhirnya berakhir.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sangat cakna kepada keperluan rakyat seperti kami,” ujarnya.

Wan Abdullah ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Borang 5A RTB Batu Putih, Mukim Kuala Abang yang disempurnakan oleh Ahmad Samsuri di Dewan Al-Husna Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, semalam.

Dia merupakan salah seorang daripada 45 orang peserta terkilan dan 292 orang awam yang memenuhi kelayakan pada sesi itu.

Seorang lagi penerima Mohamad Ali ,69, berkata, dia tidak menyangka permohonannya begitu cepat diproses.

“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya sekeluarga,” ujarnya yang berasal dari Kampung Balai Besar.

Sementara itu, Mariani Mohd,39, yang menetap bersama ibunya di Kampung Peladang menyifatkan, pemberian Borang 5A itu sangat bermakna buat dirinya.

 “Apabila diberitahu saya terpilih, perasaan tu suka sangat, InsyaAllah lepas nie boleh buat rumah sendiri di atas tanah yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri ini,” ujarnya.
 


Tag: