lightning-solid
Berita :
Tanpa Drama, Terengganu Angkat Prestasi ke Aras Tertinggi
Tanpa Drama, Terengganu Angkat Prestasi ke Aras Tertinggi
Noraini Jusoh
11 Nov 25
334

KUALA TERENGGANU, 11 November – Terengganu berjaya mengubah wajah politik negeri apabila tidak membalas serangan dengan kemarahan sebaliknya membuktikan dengan prestasi dan pencapaian.

Perkara tersebut disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor yang menyifatkan politik stabil, beradab dan menenangkan rakyat merupakan kekuatan baharu Terengganu.

“Dasar pemulihan peninggalan kerajaan lama telah membuktikan wajah baharu politik dan pentadbiran negeri.

“Dasar pentadbiran kita tidak menuding jari ke belakang, sebaliknya mengambil pendekatan memulih, membaiki dan menghidupkan semula projek-projek berpotensi tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida turut berkongsi beberapa projek yang dahulu menjadi simbol kecuaian dan kegagalan telah berjaya dibaik pulih.

“Antaranya Stadium Sultan Zainal Abidin yang kini kembali berfungsi sebagai mercu aktiviti sukan dan rekreasi rakyat Terengganu. 

“Selain itu, Hotel Paya Bunga yang suatu masa dahulu terbiar tanpa hala tuju, kini beroperasi semula dengan wajah baharu dan menjadi nadi sektor pelancongan bandar Kuala Terengganu. Kejayaan memulihkannya bukan sekadar soal bangunan, tetapi simbol bahawa asset negeri boleh diurus semula dengan bijak dan berkesan,” jelasnya.

Tambah beliau, projek-projek perumahan mampu milik seperti di Padang Setenge, Kampung Baru Kerteh dan Batu Rakit, kini dipulihkan dan diteruskan untuk memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah yang membuktikan kerajaan negeri serius menunaikan amanah menyediakan rumah untuk rakyat, bukan sekadar janji dalam manifesto.


Artikel Berkaitan