• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Taska Permata YPK Pilihan Terbaik Golongan Pendapatan Rendah


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN,  7 Februari - Taman asuhan kanak-kanak (taska) Permata Keluarga kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin dalam penjagaan kanak-kanak yang terbaik.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (KHAIRUNNISA'), Rugayah Mahmood berkata, Taska Permata membantu ibu tunggal dan ibu bapa yang miskin untuk menjaga anak mereka semasa keluar bekerja.

"Bangunan YPK ini khusus untuk orang miskin dan pekerja yang mempunyai pendapatan di bawah daripada RM3000. Orang-orang ini boleh hantar anak-anaknya, maknanya YPK tanggung.

"Jika dikenakan bayaran pun, ianya adalah sangat minima," katanya yang juga isteri Ahli Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang ketika dihubungi  Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru - baru ini.

Beliau yang merupakan ibu angkat kepada Taska Permata untuk DUN Rantau Abang berkata, penjagaan mengikut tahap umur di mana jagaan bermula sejak daripada lahir sehingga umur tiga bulan.

"Jadi dari umur tiga bulan sampai budak tu umur tiga tahun seterusnya lima tahun dan pada umur lima tahun ikut pandai ibu dia nak hantar anak dia ke mana tetapi  YPK jaga sebelum budak-budak tu boleh pergi ke mana-mana," ujarnya lagi.
                   
Menurut Rugayah, di Taska Permata ada tiga peringkat penjagaan iaitu peringkat bayi, peringkat tatih (satu hingga dua tahun) dan peringkat tipat (tiga tahun hingga empat tahun).

"Tatih maknanya budak yang boleh bergerak dan budak-budak ni diasingkan  bilik-biliknya, jadi nisbahnya, tiga bayi seorang penjaga," katanya.

Tag: