• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tayangan TFC Vs JDT Di 'Big Screen' Stadium Malam Esok

MARANG, 25 November – Kerajaan Negeri menerusi Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) akan membawa suasana dan ‘feel’ saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia dalam tayangan skrin besar di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara tersebut adalah bagi membawa kehangatan perlawanan antara Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim buat penyokong dalam negeri.

“Selain itu, untuk daerah lain juga ada menganjurkan tayangan ‘big screen’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), hanya 500 kerusi disediakan buat peminat daripada Terengganu, TFC juga menyediakan tawaran istimewa melalui pakej penerbangan bersama pemain dan pihak pengurusan dengan 70 tempat terhad.

“Manakala pelbagai kelab penyokong daripada daerah lain mengambil inisiatif mereka menggunakan bas bagi membawa penyokong di sana,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Graduan IKBN Wakaf Tapai 2020/2021, pagi tadi.

Tambahnya, beliau mengharapkan TFC membawa kejutan dalam perlawanan tersebut kerana ia adalah perkara tidak mustahil memandangkan kelab tersebut pernah mengalahkan Johor di laman sendiri.

Menurut penganjur, majlis bermula pada Jumaat malam akan dimulakan dengan Solat Isyak berjemaah pada jam 8.00 malam dengan tayangan bermula pada jam 9 malam,

Terdahulu, keputusan kekal 1-1 dan Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini dalam aksi timbal balik dengan juara Liga Super 2021 itu memiliki kelebihan gol di tempat lawan.