KUALA TERENGGANU, 19 November - Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) melalui inovasi pelaksanaan sistem pembayaran atas talian Temporary Permit (TemPe) berjaya mengurangkan kos pengurusan secara drastik dengan penjimatan hampir RM170,000.
Menurut MDHT, kaedah tradisional menguruskan permit sementara termasuk pencetakan bil, penyediaan surat, penggunaan fail fizikal serta kos tenaga kerja telah menelan belanja sehingga RM200,000 selepas musim PKP.
Namun katanya, penggunaan TemPe sejak 2023 membolehkan kos itu dikurangkan kepada hanya sekitar RM28,000 yang telah diperuntukkan untuk membangunkan sistem pembayaran berkenaan.

"Apabila mereka nak perbaharui permit sementara (lesen yang dikeluarkan oleh PBT untuk menjalankan aktiviti atau pembinaan yang bersifat sementara) mereka yang perlu dibayar setiap tahun dulu mereka kena datang ke pejabat.
"Dengan sistem ini pengguna hanya perlu masuk sistem dan bayar secara atas talian. Kita pun boleh pantau terus rekod bayaran mereka, keluarkan notis melalui e-mel, WhatsApp atau SMS jika ada tunggakan," katanya.
Ketua projek TemPe, Tengku Amilrul Izzat Ku Mat berkata sistem itu dibangunkan sekitar 2023 selepas PKP apabila banyak pelanggan menghadapi kesukaran hadir ke pejabat untuk melakukan pembayaran.
Tambah mereka, maklumbalas hasil daripada penggunaan sistem yang dibangunkan oleh tenaga MDHT sendiri itu turut telah menunjukkan penjanaan pendapatan yang lebih memberansangkan sejak dua tahun ia mula diperkenalkan kepada awam.

"Kalau ikutkan kita punya hasil pada masa selepas PKP tahun 2022 tu hanya dapat dalam 70,000. Tapi selepas ada sistem ni hampir dekat 0.5 juta. Memang peningkatan yang mendadak," jelas Amilrul yang juga berjawatan sebagai Ketua Jurutera di MDHT.
Melalui pendekatan digital, MDHT bukan sahaja mengurangkan kos bahan fizikal, tetapi juga menyelesaikan masalah lama yang membebankan jabatan seperti kehilangan data, kelewatan proses bayaran, serta pengurusan penyimpanan fail.
Tambah Penolong Pegawai Teknologi Maklumat merangkap pembangun sistem, Muhammad Asyraf Qusyairi Shahirin berkata, TemPe direka sebagai sistem 'end-to-end' bagi memudahkan semua proses permit sementara.

Dengan hasrat yang tinggi bagi memperluaskan penggunaan sistem itu, YDP MDHT berkata penjimatan kos serta keberkesanan sistem TemPe membuktikan pendigitalan adalah langkah penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Sistem ni kita kita perlu tingkatkan lagi dari segi promosi. Promosi dan juga kita boleh ajar atau normalisasikan penggunaan sistem khususnya kepada mereka (pengguna) yang berumur.
"Kita nak ke arah penggunaan yang menyeluruh, insya-Allah. Sebab sekarang ni kerajaan nak ke arah sistem digital dan kita pun ke arah Smart City sekarang," nyata beliau.
Menurutnya lagi, MDHT kini menunggu kelulusan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan (SUB) untuk mengembangkan penggunaan TemPe ke tujuh PBT di seluruh Terengganu.
Inovasi TemPe turut berjaya merangkul tempat kedua pada Majlis Anugerah Persada Inovasi Negeri Terengganu 2025 yang telah berlangsung di Wisma Darul Iman.
Pencapaian tersebut melayakkan MDHT membawa pulang wang tunai bernilai RM7,000 secara keseluruhan dengan pecahan RM6,000 bagi Anugerah Perak serta RM1,000 bagi Anugerah Lima Bintang.