• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tempoh Bayaran Cukai Tanah Dilanjutkan

KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Tempoh bayaran cukai tanah tanpa denda bagi tahun semasa 2021 telah dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.

Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu (Pendaftaran), Wan Khalid Wan Jusoh berkata, pembayaran sebelum tarikh berkenaan boleh mengelakkan denda lewat bayar. 

"Bayaran cukai tanah termasuk tunggakan dan denda bolehlah dibuat di semua kaunter bayaran di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) Terengganu, Pejabat-Pejabat Tanah Daerah dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Paya Bunga Square, Kuala Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, waktu urusan bagi kaunter PTG dan kaunter hasil Pejabat Tanah Daerah adalah pada waktu dan hari bekerja iaitu dari Ahad sehingga Rabu (8 pagi hingga 4.30 petang) dan Khamis bermula 8 pagi hingga 3 petang.

"Manakala, waktu operasi kaunter semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) untuk Ahad sehingga Rabu (9 pagi hingga 3 petang) dan Khamis dari 9 pagi hingga 2.30 petang," ujarnya.

Katanya, waktu urusan bagi kaunter PTG di UTC pula bermula 10 pagi sehingga 7 malam pada Ahad hingga Khamis dan dari 8 pagi hingga 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.

Wan Khalid berkata,  cukai tanah boleh dibayar dengan beberapa cara termasuk menggunakan kad debit atau kad kredit di semua kaunter hasil tanah.

"Juga melalui perbankan online bagi pengguna perkhidmatan Maybank2U di http://www.maybank2u.com.my/, perbankan online bagi pengguna perkhidmatan jompay di 42 buah bank, perkhidmatan Tpay di https://tpay.terengganu.gov.my/.

"Selain boleh dibayar melalui Electronic Fund Tranfer (EFT) kepada akaun Bank Islam Malaysia Berhad (Cawangan Kuala Terengganu) No. Akaun: 13017010034566
TETUAN AKAUNTAN NEGERI TERENGGANU.

Katanya, setelah bayaran dibuat, pemohon perlu menghantar resit bayaran dan rujukan pembayaran dengan kadar segera
melalui email kepada ptgtrg@terengganu.gov.my.


Tag: