• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Belanja RM1.78 Juta Taja Pelajar Ke Jepun

KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri membelanjakan RM1.78 juta bagi menghantar tiga pelajar cemerlang ke Jepun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka merupakan penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat ijazah ke luar negara dan ini adalah penghantaran kali kedua ke Jepun di bawah skim tersebut. 

“Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar cemerlang lepasan SPM 2020 yang telah pun menamatkan Program Persediaan Japan (Look East Policy (Japan) programme) di Kolej INTEC Shah Alam.

“Anak-anak ini dijadualkan akan berangkat ke Jepun pada 18 Mei depan. Nilai keseluruhan biasiswa bagi ketiga-tiga pelajar tersebut dianggarkan berjumlah RM1.78 juta bagi tempoh pengajian tiga hingga empat tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri dan Bantuan Persedian Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, besar harapan Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Terengganu khasnya untuk melihat anak-anak pelajar pulang membawa kejayaan setelah tamat pengajian.

“Sekalung penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan anak-anak Terengganu yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian di dalam bidang yang menjadi idaman dan universiti terkemuka yang menjadi rebutan setiap pelajar untuk menimba ilmu,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menubuhkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat ljazah Pertama.

“Sehingga kini seramai 601 orang pelajar cemerlang lepasan SPM, Asasi/Matrikulasi, STPM dan STAM telah menerima skim biasiswa ini bagi mengikuti pengajian peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang. 

“Dari jumlah tersebut 516 orang mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara dan 84 orang dari mereka mengikuti program pengajian luar negara dalam bidang- bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian Kejuruteraan Sains, Perakaunan dan Al-Qur'an Wal Qiraat,”ujarnya.