• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu Berpotensi Jadi Hub Pengeluar NR-REE Utama Negara - Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 22 April - Terengganu berpotensi menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda bertitah, dengan memiliki sumber NR-REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini, kerajaan negeri perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber baharu itu.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) itu, baginda bertitah kerajaan negeri perlu mengambil peluang menjadi pemain utama sektor industri baharu di dalam teknologi moden masa kini.

"Dengan sumber mineral baharu ini, kerajaan Beta harus menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rangkaian nilai.

"Termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-StreaM0 diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pada 5 Oktober lalu, kerajaan Terengganu menubuhkan Majlis Mineral REE sebagai platform pemudahcara urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan.

Untuk rekod, kerajaan negeri turut mengumumkan syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan NR-REE berhampiran Pelabuhan Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024.

Katanya, tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad.

"Pihak Star Group juga telah melawat lokasi tersebut dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ.

“Kilang yang akan dibina terdiri daripada dua peringkat, satu untuk 'midstream' dan keduanya adalah kilang 'downstream'.

“Midstream ini akan proses hasil yang yang kita lombong di negeri Terengganu dan negeri-negeri di bawah State Government 4 (SG4) untuk dihantar ke kilang mereka untuk dibuat 'cracking' ataupun dioksidakan NR-REE,” jelasnya.