• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Bersedia Jadi Tuan Rumah Terbaik Ekuestrian Sempena Sukan SEA 2017




Kerajaan negeri bersedia menjadi penganjur terbaik bagi sukan berkuda sempena  Sukan SEA 2017 (Kuala Lumpur 2017) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, satu jawatankuasa pengelola  peringkat negeri  ditubuhkan dan dipengerusikan oleh beliau serta Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman selaku penasihat, bagi melicinkan pelaksanaan temasya sukan itu.

"Beberapa mesyuarat telah diadakan bagi temasya sukan ini termasuklah perbincangan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan. Kita telah bersedia sepenuhnya dari segi infrastruktur dan logistik.

"Buat masa sekarang kita berada di tahap untuk menguji trek perlumbaan. Pada 7 dan 8 April ini juga akan dilangsungkan Piala Raja Muda sekali gus sebagai ujian sama ada kita telah bersedia atau tidak," katanya.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak dan Liga Bola Jaring Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Hulu Terengganu,  malam tadi.

Rozi berkata, sukarelawan yang terlibat untuk membantu perjalanan sukan ini telah pun dipilih dan sebahagiannya terdiri daripada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"80 orang sukarelawan ini akan mengikuti latihan dan simulasi bagi jangka masa pendek untuk mempersiapkan diri mereka di temasya sukan itu nanti.

"Kita sudah uji mereka baru- baru ini dalam kejohanan antarabangsa iaitu Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC untuk mereka lebih terdedah secara praktikal terhadap perkara yang perlu dilakukan ketika Sukan SEA kelak dan saya nampak ianya berjaya,"katanya lagi.

Beliau juga menjangkakan tiada banyak masalah akan timbul kerana negeri Terengganu berpengalaman mengadakan kejohanan sukan berkuda di peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah, ia akan berjalan lancar seperti yang telah kita tetapkan dan sekarang kita hanya tunggu masa pelancaran sukan itu,"kata Rozi.

Tag: