• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Dipilih Untuk Tanam Jagung Bijirin

KUALA TERENGGANU, 15 Jun- Kawasan seluas 12,140 hektar di Terengganu dan Kelantan telah dikenalpasti oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk diusahakan tanaman jagung bijirin.

NAFAS bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan memulakan projek berkenaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan penternak ayam di negara ini terhadap bekalan makanan import untuk haiwan ternakan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembabitan kerjasama dua pihak tersebut diyakini berupaya menjamin sekuriti makanan negara selain turut menyasarkan menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran 144 juta ekor ternakan setahun, manakala 30 juta lagi dikeluarkan oleh ANGKASA.

Jelasnya, dua pihak berkenaan akan terlibat secara langsung dalam ekosistem industri ayam.

"Bermula daripada anak ayam, bekalan makanan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga memastikan bekalan sampai kepada pengguna," katanya dalam suatu kenyataan, semalam.

Beliau turut memaklumkan telah bertemu Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dan Anggota Lembaga ANGKASA bagi membincangkan langkah untuk menjamin sekuriti makanan negara.

Dalam pada itu katanya, ANGKASA juga sudah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dimana setiap hektar yang diusahakan itu mampu mengelurkan lima tan jagung bijirin.

Justeru katanya, langkah itu berupaya untuk membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam yang selama ini dijual di pasaran pada kadar yang tinggi kerana bekalan makanan kepada haiwan ternak yang diimport itu berlaku peningkatan.