• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu FC Atasi Selangor 2-1, Lonjak Ke Tempat Kedua

KUALA LUMPUR, 10 Mei - Pasukan Terengganu FC (TFC) melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas berjaya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Skuad Gergasi Merah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti penyerang import Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-49, selepas bola sepakan kapten pasukan, Brendan Gan terkena tangan Mohd Nasir Basharuddin di dalam kotak penalti.

Namun, skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Engku Muhd Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-72, sebelum tandukan pemain import dari Sepanyol, Carlos de Murga pada minit ke-87 mengesahkan tiga mata penuh buat TFC.

Keputusan malam tadi menyaksikan TFC mendahului Kedah Darul Aman (KDA) FC (26 mata) di tangga kedua dengan 27 mata selepas 13 perlawanan dan hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT).

Selangor (19 mata) dan PJ City (14 mata) masing-masing kekal di tempat kelima dan kelapan, manakala Sri Pahang FC (12 mata) keluar dari zon penyingkiran dengan mengatasi Perak FC (12 mata) ke tempat kesembilan, dan Melaka United (11) di kedudukan kedua tercorot carta.

Saingan Liga Malaysia akan berehat selepas ini, di mana Liga Premier dijadualkan bersambung semula pada 18 Jun selepas Hari Raya Aidilfitri dan memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Liga Super pula hanya akan bermula pada 9 Julai, selepas aksi peringkat kumpulan Liga Juara-juara AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) melibatkan JDT, dan saingan peringkat kumpulan Piala AFC melibatkan TFC serta KDA FC.

-- BERNAMA


Tag:

Artikel Berkaitan