• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu FC Layak Ke Peringkat Kedua

KUALA TERENGGANU, 29 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengesahkan laluan ke peringkat kedua setelah menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi pertama Piala FA 2022, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), permainan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan berhati-hati melancarkan serangan.

Pada minit ke-28, tuan rumah berhasil mendapatkan gol pertama hasil kesilapan pertahanan import NSFC, Herold Goulon tertampan bola hantaran lintang Mohd Syafik Ismail ke gawang sendiri.

Terkejut dengan keputusan itu, pelawat cuba bangkit dengan lebih banyak serangan ke kubu Sang Penyu.

Skuad kendalian K. Devan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-35 apabila Omid David Nazari menanduk masuk bola sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee untuk skor 1-1.

Namun, hanya tiga minit berselang, Terengganu FC kembali di depan selepas Mohd Faisal Halim berjaya menjaringkan gol kedua pasukan dalam keadaan kelam kabut di hadapan gawang.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sang Rusa lebih banyak menyerang kubu tuan rumah.

Pelawat hampir mendapatkan jaringan penyamaan, namun Evanonye Adetu disahkan offside ketika dia sudah berada dalam situasi satu lawan satu berdepan Muhammad Rahadiazli pada minit ke-54.

Pada minit ke-64, Tcheche Kipre mempunyai peluang menambah jaringan, bagaimanapun rembatannya tersasar.

Negeri Sembilan FC memasukkan lebih banyak penyerang bagi mengubah situasi perlawanan, namun Terengganu FC lebih cemerlang bertahan sambil melakukan serangan balas.

Terengganu FC kekal mendahului sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kemenangan malam ini menyaksikan Terengganu FC menempah pertemuan menentang Kedah Darul Aman FC dalam peringkat kedua.

 

 


Tag: