• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Terengganu Fokus Jana Peluang Kerja, Tingkat Kemahiran Rakyat

Oleh : Imana Mahadi/Pegawai Penyelidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai penduduk di seluruh dunia terkesan, jutaan rakyat kehilangan pekerjaan sehingga menimbulkan masalah kewangan dalam kehidupan seharian.

Menurut Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, krisis COVID-19 ini akan menyebabkan 195 juta orang kehilangan pekerjaan sepenuh masa. Di negara kita, berdasarkan statistik daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sehingga 28 Oktober 2020 seramai 90,470 orang telah kehilangan pekerjaan.

Dalam konteks Negeri Terengganu pula, menurut Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, kadar pengangguran di Terengganu telah meningkat kepada 3.8 peratus pada suku kedua 2020 berbanding 3.3 peratus pada suku pertama tahun 2020. 

Menghadapi fenomena ini, Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Belanjawan Terengganu 2021 telah memperuntukkan sebanyak RM7.52 juta untuk Latihan Kemahiran dan Peluang Pekerjaan.

Langkah yang disenaraikan sebagai salah satu Inisiatif Khas COVID-19 ini menunjukkan fokus dan keutamaan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2021.

Di bawah inisiatif ini, program-program yang disusun antaranya ialah program perantisan sebagai laluan kerjaya sebelum ke pasaran kerja dan program peningkatan latihan kemahiran seperti Terengganu Young Executive Program (TYEP) dan T-JOB.

Program ini harus diberi pujian kerana turut memberi peluang kepada golongan OKU untuk mendapat bimbingan dan sokongan kerjaya. Malah dapat memberi pendedahan awal kepada graduan sebelum masuk ke pasaran kerja yang lebih mencabar sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka. 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran usahawan di Terengganu khususnya untuk golongan belia dan beliawanis dengan melaksanakan program seperti Kursus Keusahawanan Terengganu dan Program Jati Diri Generasi Sejahtera.

Dengan adanya program sebegini, kita dapat menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi bidang keusahawanan dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji, 'white collar job'.

Tambahan pula, COVID-19 telah menyebabkan permintaan tinggi dalam bidang keusahawanan digital berbanding industri lain. Inilah peluang terbaik untuk diceburi menerusi inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

Inisiatif ini juga turut memberi tumpuan terhadap pemerkasaan pusat kemahiran seperti TESDEC dan TATIUC melalui Terengganu Training Program (TTP) serta melatih kemahiran golongan lepasan sekolah menerusi program berkonsepkan ‘Place & Train’ iaitu Terengganu Skill Enhancement Program for School Leavers (T-SEPS). 

Di samping itu, bagi mempersiapkan mentaliti anak Terengganu dan membantu mereka bersedia menghadapi suasana kerja berbeza di luar Terengganu, Program Transformasi Pekerja Itqan akan dilaksanakan. Bukan itu sahaja, Karnival Pekerjaan 2021 juga akan diadakan bagi memastikan rakyat Terengganu dapat memanfaatkan sepenuhnya daripada peluang-peluang pekerjaan yang ada di Terengganu dan di luar Terengganu. 

Semua inisiatif ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam memastikan kebolehpasaran dan kebolehgajian graduan serta membantu penganggur dan pekerja yang terjejas akibat pandemik COVID-19 mendapatkan semula pekerjaan dan mempunyai sumber pendapatan bagi menyara kehidupan sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri. 

Kerajaan Negeri juga perlu memainkan peranan yang lebih berkesan untuk memastikan agensi pelaksana yang terlibat menjalankan tanggungjawab dan mengurangkan birokrasi bagi memudahkan urusan golongan yang terjejas ini.


Tag: