• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Inc Catat Hasil RM1.2 Bilion

KUALA TERENGGANU, 27 September – Kumpulan anak syarikat negeri (GLC), Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mencatatkan peningkatan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan sejumlah RM1.2 bilion berbanding RM1.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata hasil tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 14 peratus atau RM148.1 juta yang disumbangkan oleh anak-anak syarikatnya.

“Sekali lagi, sektor perladangan yang digerakkan oleh TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kepada Kumpulan (49 peratus) oleh harga purata minyak sawit dan isirong sawit diperakui yang lebih tinggi diikuti oleh sektor penjagaan kesihatan (19 peratus) serta sektor tenaga dan sumber (17 peratus).

“Trend kenaikan lain termasuk keuntungan sebelum cukai dan zakat Kumpulan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 364 peratus (RM60.9 juta) kepada RM77.7 juta daripada RM16.7 juta pada tahun kewangan 2020.

“Walaupun kos operasi meningkat sebanyak RM67.1 juta (25 peratus), Kumpulan Terengganu Inc masih mencapai keuntungan selepas cukai untuk meneruskan operasi sebanyak RM8.6 juta pada tahun semasa,” katanya.

Kluster tenaga dan sumber Kumpulan yang diterajui oleh Golden Pharos Berhad mempamerkan hasil baik sebanyak RM9.5 juta manakala segmen hasil ladang hutan meningkat sebanyak 357 peratus, venir (62 peratus) dan serpihan kayu (24 peratus).

Dengan kebenaran semula aktiviti ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pelancongan menerusi YTYI Sdn Bhd (Permai Hotel) memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.2 juta selepas kerugian beberapa tahun.

Hasil itu menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus(RM3.5 juta) berbanding tempoh yang sama pada tahun kewangan 2020, iaitu sebanyak RM7.3 juta kerugian.

Anak syarikat Kumpulan yang menjurus kepada sektor pembinaan, GPQ Sdn Bhd turut memperoleh hasil tinggi pada 2021 iaitu sebanyak RM42.5 juta berikutan penyiapan projek Hospital Pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"Kami optimis Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulannya dapat mengekalkan kadar kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi negara yang berterusan. Prinsip perniagaan kami yang mampan dan amalan pengurusan risiko sentiasa diutamakan.

“Usaha kami untuk mencapai kejayaan melangkaui objektif komersial semata-mata. Bagi memajukan pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosial dan tadbir urus yang baik, kami akan terus menggalakkan daya tahan dan pertumbuhan mampan,” tambahnya.