Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Inc Pacu Tiga Projek Mega Bernilai RM11.1 Bilion
Terengganu Inc Pacu Tiga Projek Mega Bernilai RM11.1 Bilion
Mastura Jamal Din
22 jam yang lepas
35

KUALA TERENGGANU, 28 September – Pelaburan strategik bernilai kira-kira RM11.1 bilion dalam sektor pelabuhan, perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui bakal menjadi pemangkin baharu kepada transformasi ekonomi Terengganu.

Pelaburan menerusi Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) itu bukan sahaja memperkukuh infrastruktur dan kapasiti ekonomi negeri, malah membuka ruang kepada Terengganu untuk mengembangkan rantaian industri bernilai tinggi serta menarik lebih banyak pelaburan baharu.

Antara projek utama ialah perluasan Pelabuhan Kemaman bernilai RM3.1 bilion, pembangunan Kerteh Terengganu Industrial Park (KTIP) bernilai RM6 bilion dan projek Loji Fotovoltaik Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) di Tasik Kenyir bernilai RM1.96 bilion.

Nilai itu turut merangkumi integrasi laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM50.7 juta yang menyokong pembangunan Pelabuhan Kemaman, sekali gus mengukuhkan jaringan pengangkutan dan logistik negeri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, menerusi anak syarikatnya, KPKSB, kapasiti Pelabuhan Kemaman sedang diperluas daripada 12 juta tan metrik kepada 30 juta tan metrik setahun.

“Peningkatan kapasiti sebanyak 2.5 kali ganda ini dijangka menyokong aktiviti perdagangan dan perindustrian di Terengganu, manakala integrasi dengan ECRL dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Malaysia Rail Link (MRL) dan EPIC Berhad,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, KTIP pula dibangunkan sebagai hab industri biopolimer dan bahan kimia berasaskan bio, selari dengan usaha kumpulan mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi negeri.

“Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Terengganu Inc turut memacu projek HHFS berkapasiti 595 megawatt arus terus (MWac) di Tasik Kenyir dengan nilai RM1.96 bilion.

“Projek solar terapung itu dibangunkan bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan menjadi antara projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar yang diterajui kumpulan berkenaan,” katanya.

Selain itu, Terengganu Inc turut memperluas penglibatan dalam sektor minyak dan gas menerusi kerjasama dengan PETRONAS Carigali, Ping Petroleum dan EnQuest bagi meningkatkan penglibatan kumpulan dalam rantaian nilai tenaga negara.

Di sebalik pelaksanaan projek berskala besar itu, Terengganu Inc turut mencatatkan prestasi kewangan terbaik dengan hasil RM2.01 bilion pada 2025, meningkat 15 peratus berbanding RM1.75 bilion pada 2024.

Jumlah itu merupakan hasil tertinggi yang pernah dicatatkan kumpulan sejak penubuhannya.

Prestasi berkenaan disokong kluster perniagaan teras membabitkan perlombongan, minyak dan gas serta penjagaan kesihatan yang menyumbang kira-kira 78 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut melonjak 116 peratus kepada RM176.4 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM106.2 juta berbanding RM42.2 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam sektor pelancongan pula, Terengganu Inc meneruskan pembangunan destinasi bersepadu Pulau Poh di Tasik Kenyir di bawah jenama Primula by The Lake bagi meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama.

Burhanuddin berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan Terengganu Inc menarik pelaburan strategik berskala besar, sekali gus menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi negeri.

“Terengganu Inc akan terus melaksanakan inisiatif strategik bagi menyokong aspirasi Terengganu sebagai hab pertumbuhan ekonomi bersepadu, di samping memastikan manfaat pembangunan dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Sementara itu, kumpulan berkenaan turut menyalurkan RM16.25 juta menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang 2025.

Sumbangan itu meliputi pembangunan komuniti, pendidikan, sukan, kebajikan dan kelestarian alam sekitar termasuk bantuan kepada golongan memerlukan, sokongan institusi pendidikan, pembangunan bakat serta inisiatif pemeliharaan alam sekitar.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan