• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Terengganu Inc Rintis Pemahaman Sukuk di Pantai Timur

KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan Terengganu melalui syarikat induk pelaburannya, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) berperanan untuk mengukuhkan pemahaman dan pertumbuhan sukuk di rantau pantai timur menerusi 'Professorial Talk Series II, 2023' yang membincangkan topik 'Fundraising Through Issuances of Sukuk'.

Dalam satu kenyataan media bersama di sini hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, siri kedua program 'Professorial Talk' mencerminkan komitmen Terengganu Inc dalam meningkatkan pengetahuan dan perkembangan kewangan Islam.

"Program sehari bersama 150 peserta daripada pelbagai latar belakang korporat dan akademik ini bertujuan untuk memupuk perkongsian ilmu sekali gus memangkin ke arah inisiatif bagi memperkasakan urusan perniagaan dan pelaburan korporat," jelasnya.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Tengku Seri Bijaya Raja berkata pengumpulan dana melalui sukuk secara strategik membantu pembangunan mampan serta menyokong inisiatif sosial dalam Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia.

"Sukuk telah mendapat perhatian global sebagai sistem kewangan yang berdaya maju dan inklusif dengan Malaysia sebagai negara pelabur sukuk terbesar di rantau ini dengan jumlah nilai terkumpul RM2 trilion setakat 31 Oktober 2023," ujarnya.

Dalam pada itu Naib Cancelor (Penelidikan & Inovasi) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Ts Dr Shukor Abd Razak berkata, program itu juga adalah sambungan hasil kerjasama Terengganu Inc bersama UniSZA menerusi 'Terengganu Inc-UniSZA Chair of Islamic Investment' selama tiga tahun (2021-2023).

Untuk rekod, 'Professorial Talk' merupakan salah satu aspek  kolaborasi berkenaan bertujuan untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam tentang pelaburan Islam.

Terdahulu, Terengganu Inc mengukuhkan komitmennya terhadap kewangan Islam dengan menubuhkan Jawatankuasa Syariah pada September 2022 dan meneruskan program kesinambungan daripada 'Professorial Talk Investment and Shariah Compliance Diillema' yang dijalankan pada Mac tahun lalu.


Tag: