• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Jadi Hab Makmal Forensik DNA Pantai Timur

KUALA TERENGGANU, 26 September - Terengganu menjadi negeri pertama mewujudkan penubuhan Makmal Sehenti DNA Forensik dan Makmal Sehenti Analisis Air di Pantai Timur melalui Jabatan Kimia Malaysia Negeri Terengganu (KIMIA Terengganu) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penubuhan makmal-makmal sehenti berkenaan adalah bagi memudahkan urusan perkhidmatan sains yang terbabit.

"Dengan penubuhan makmal ini di Terengganu, pegawai penguatkuasa, pihak industri dan orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan sains tanpa perlu ke Ibu Pejabat KIMIA Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.

"Bagi Zon Timur, Makmal Sehenti DNA Forensik dan Makmal Sehenti Analisis Air diwujudkan di KIMIA Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Makmal Sehenti Analisis DNA Forensik dan Makmal Sehenti Analisis Air Zon Timur Sempena Sambutan Jubli Emas, KIMIA Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Ketua Pengarah KIMIA Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman dan Pengarah KIMIA Terengganu, Siti Redzoh Ibrahim.

Menurut Amzad, antara perkhidmatan ditawarkan Makmal Sehenti DNA Forensik adalah bagi menangani masalah kewarganegaraan bagi menentukan pertalian kekeluargaan antara anak dan ibu bapa akibat ketiadaan surat kelahiran dan isu-isu berkaitan.

Mengulas lanjut, tambahnya, perkhidmatan makmal itu juga akan diperluas dengan penerimaan kes-kes jenayah yang mengikut perancangan akan mula dibuka kepada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) bermula Januari 2022.

Ia akan turut memfokuskan siasatan forensik berkaitan kes bunuh, rogol, kecederaan, samun dan sebagainya.

"Dengan adanya makmal ini ia membolehkan kes-kes jenayah di sebelah pantai timur disiasat dengan lebih cepat untuk tujuan forensik di ibu pejabat dan keterangan mahkamah.

"Tiga pegawai yang mempunyai kepakaran ditempatkan di sini untuk memudahkan siasatan, perjalanan keterangan mahkamah dan sebagainya.

"Kita sudah ada kepakaran dan peralatan yang lengkap untuk Terengganu insya-Allah," jelasnya.

Untuk rekod, sehingga 60 kes jenayah sebulan purata kes daripada negeri pantai timur dihantar ke ibu pejabat dengan keputusan sampel DNA memakan masa hingga 30 hari mengikut piagam yang ditetapkan.

Justeru, Amzad yakin, tempoh masa keputusan DNA mampu dipercepatkan di pantai timur dengan penubuhan makmal di negeri tersebut.


Tag: