• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Terengganu Kembali Hangatkan LTdL 2017



Rozi (dua dari kanan) bersalaman dengan Emir sejurus selesai sidang media mengenai status terkini penyertaan Terengganu dalam kejohanan LTdL 2017, di Hotel Permai Inn, semalam. Foto oleh Zulkifli CW Putra

Berita gembira buat semua peminat sukan berbasikal Terengganu apabila negeri ini disahkan kembali tersenarai sebagai laluan dalam perlumbaan basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017.

Pengumuman oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato' Rozi Mamat itu susulan persepakatan yang dicapai kerajaan negeri dengan penganjur LTdL, sekali gus menyelesaikan isu penarikan laluan Terengganu dalam peta LTdL 2017 yang tersebar di media, sebelum itu.




"Kerajaan negeri juga bersetuju membantu penganjur menaja keperluan logistik dan penginapan sepanjang perlumbaan LTdL di negeri ini nanti, " katanya pada sidang media, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, semalam. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan ), Zainal Abidin Hussin. 



Sebelum ini, kerajaan negeri kecewa dengan keputusan penganjur untuk menggugurkan Terengganu meskipun kerajaan negeri banyak menyokong dan membantu LTdL termasuk memberi sumbangan bagi menjayakan perlumbaan tersebut. 

Sementara Emir berkata, pihaknya juga akan mempromosikan kempen Visit Beautiful Terengganu 2017 sempena Tahun Melawat Terengganu di sepanjang perlumbaan bermula 22 Februari sehingga 1 Mac ini. 

Sebagaimana jadual asal, LTdL yang dijangka akan disertai 20 pasukan profesional seluruh negara itu melibatkan dua peringkat perlumbaan di Terengganu iaitu dari Kuala Berang ke Jertih dan Jertih ke Grik.




Tag: