• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Kembali Hantar Pelajar Ke Luar Negara

KUALA NERUS, 17 September – Setelah mengharungi pandemik COVID-19, sektor pendidikan luar negara Terengganu kembali rancak dengan pelepasan 29 pelajar ke Kaherah Mesir bagi menyambung pengajian berbentuk fizikal, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, para pelajar berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 itu telah mengikuti pembelajaran atas talian dan mengikuti persiapan bahasa sejak tahun lepas.

“Walaupun suasana COVID-19 telah reda hasil program imunisasi, namun Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan masih dipatuhi dengan kesemua pelajar divaksin penuh dan melalui ujian reaksi rantai polimerase (PCR) sebelum berangkat.

“Apabila mereka tiba di Kaherah, pegawai pengiring dan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) turut bersama dalam melicinkan kerja pendaftaran dan sebagainya.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dan NGO Al-Azhar Care yang turut serta dalam usaha menghantar kembali anak Terengganu kita menyambung pelajaran dalam pengajian Islam, Usuluddin dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Pelajar Ke Republik Arab Mesir di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, YB Ustaz Maliaman Kassim, Presiden Al Azhar Care, Alif Mahari dan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Ridhuan Mahmud.

Menurut Satiful lagi, dalam masa terdekat, Terengganu juga akan menghantar kira-kira 60 orang bagi menyambung pelajaran ke Jordan di bawah seliaan Yayasan Terengganu dan persendirian.

Seorang pelajar yang bakal menjalani bidang Usuluddin, Ahmad Syahmi Mohd Azzam menjelaskan, perasaannya berdebar namun teruja kerana pertama kali dapat menimba ilmu di luar negara.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mempelajari pelbagai perkara dan pengalaman baharu di Universiti Al-Azhar akan datang.

“Insya-Allah sebagai anak pertama ke Mesir, matlamat saya adalah belajar bersungguh-sungguh dan kekalkan niat itu dalam mencapai cita-cita memberi khidmat kepada masyarakat sebagai seorang pengajar,” jelasnya yang juga anak kedua daripada lima beradik.

Syahmi turut berterima kasih kepada keluarganya serta kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil, atas segala sumbangan dan bantuan kewangan dan akan membalas jasa dengan berbakti kepada komuniti.