• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Terengganu Laksana Pasar Malam Percubaan

KUALA NERUS, 5 Jun- Kerajaan Terengganu melaksanakan pembukaan pasar malam pertama dengan pengendalian prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai percubaan menggerakkan semula ekonomi rakyat.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadhli Yusoff Zakaria menjelaskan, operasi pasar malam itu dijalankan dengan pematuhan prosedur seperti mewujudkan laluan masuk dan keluar sehala dilengkapi rekod pengunjung dan pembersih tangan.

"Tinjauan pada petang ini, kita dapati dari segi pematuhan SOP, nampaknya para peniaga patuh apa yang telah ditetapkan. Pembukaan hari ini merupakan 'pilot' projek dan kita harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Cuma, kita harap pelanggan juga memahami keadaan semasa dan semoga usaha ini dapat diteruskan. Kita bimbang jika ada yang ingkar para peniaga tidak dapat berniaga lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu membuat tinjauan di pasar malam yang diadakan dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.

Jelasnya, jika pelaksanaan itu berjaya mungkin kerajaan negeri akan memperluaskan pembukaannya ke daerah-daerah lain.

"Kita lihat hari ini sebagai percubaan, jika lulus kita akan cadangkan kepada kerajaan negeri untuk dikembangkan. Kita jangkakan perlu dalam tiga ke empat kali ia diadakan untuk dinilai.

"Jika dikembangkan, ia akan dilaksakan dengan konsep sebegini dan diperketatkan. Jadi, kita serahkan kepada persatuan peniaga untuk menentukan sendiri sistem penggiliran bagi ahli mereka atau sebagainya kerana kapasiti gerai mungkin akan berkurang daripada jumlah asal berikutan penjarakan lebih luas," katanya.

Tambahnya, setakat ini pasar malam tersebut akan dibuka sehingga jam tujuh petang sahaja sebagaimana yang dikehendaki kerajaan negeri.

"Untuk tambah masa kita akan tengok keadaan seterusnya. Jika SOP dipatuhi sepenuhnya, mungkin akan dipertimbangkan.

"Buat masa ini, ditetapkan hari Jumaat sahaja sebagai percubaan disertai penguatkuasa kita seramai 10 orang dengan bantuan rela dan persatuan peniaga," katanya.

Pada hari pertama dilaksanakan, dimaklumkan sebanyak 112 peniaga daripada 160 tapak yang didaftarkan telah mula membuka gerai masing-masing.