• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Optimis Raih Dua Emas Acara Kabaddi

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Pasukan Kabaddi optimis menyumbang dua pingat emas kepada Kontinjen Terengganu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Pengurus pasukan Saliza Alias berkata beliau yakin dengan kemampuan pasukannya di temasya edisi kali ini.

"Walaupun pasukan ini baru sahaja berusia 8 bulan, majoriti atlet daripada pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Vokasional Wakaf Tembesu ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak lawan.

"Bagi menambah pengalaman, pasukan kita dijadualkan ke Kuala Lumpur pada minggu ini bagi perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan di sana," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika Majlis Ramah Mesra bersama Pasukan Kabaddi Sukma Sarawak 2024 di BB Seafood Garden, Gong Badak malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu Raduan Ramli dan Penolong Pengarah (Infrastruktur & Kemudahan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) A. Zulkefli Mohammad.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof merangkap Bapa Angkat kepada pasukan menyampaikan kata-kata semangat dan harapan kepada pasukan.

"Insya-Allah hasil tidak akan mengkhianati usaha. Saya percaya kita mampu membawa pulang pingat emas."

Pada majlis berkenaan, Azmi Maarof turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada pasukan Kabaddi untuk menyuntik semangat dan menampung kos pengurusan.

 


Tag: