• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Selesaikan Masalah Internet Di Pedalaman

SETIU, 26 Ogos - Sebahagian rakyat Terengganu di kawasan pedalaman kini mampu menarik nafas lega apabila proses untuk menaik taraf sistem jalur lebar di kawasan terbabit hampir siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia berikutan pembinaan 88 menara telekomunikasi baharu di seluruh negeri berkenaan terutama di kawasan luar bandar.

Menurut Ariffin, daripada jumlah berkenaan, 13 menara sudah disiapkan, 10 menara telekomunikasi masih dalam pembinaan, manakala 65 lagi dalam proses akhir tender.

Mengulas lanjut, katanya, langkah yang dilaksanakan itu antaranya bagi membantu pelajar mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lebih sempurna.

"Alhamdulillah di Kampung Payong sahaja kita akan ada dua menara. Di mana sekarang satu menara sedia ada kita naik taraf daripada 2G hingga 3G sahaja kepada 4G.

"Manakala satu lagi menara kita akan bina di Lata Payung. Yang tadi ialah menara komunikasi dan perhubungan 4G penduduk kampung.

"Dan satu lagi khusus untuk kawasan pelancongan di sini," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu tinjauan ke tapak penaiktarafan jalur lebar 4G di Kampung Payong, Setiu, hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, sebanyak 409 menara komunikasi sedia ada pula dinaik taraf kepada capaian 4G dengan 88 daripadanya sudah selesai proses itu, manakala selebihnya akan siap berperingkat menjelang hujung tahun ini.

"Selain itu, 38,216 premis dinaik taraf kepada talian tetap fiber optik dengan sebanyak 22,609 premis telah siap dipasang dan selebihnya akan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun depan.

"Ketika ini, terdapat 64 pusat internet komuniti (PIK) beroperasi di seluruh Terengganu dengan dua lagi PIK baharu dalam peringkat akhir tender," jelasnya.

Terdahulu, Kampung Payong, Setiu menghadapi masalah capaian internet yang serius sehingga menyebabkan lebih 100 pelajar meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian di bangsal usang serta pondok di kawasan ladang.


Tag: