• 26 Jul 2021 | 16 Zulhijah 1442

Terengganu Tunggu 'Signal' MKN Sebelum Adakan Sidang DUN

HULU TERENGGANU, 24 Jun - Terengganu sedang menunggu jawapan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung permohonan untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia tentang kaedah pelaksanaan Sidang DUN dalam situasi negara sekarang.

Katanya, setelah mendapat kepastian, barulah diadakan perbincangan untuk tarikh yang sesuai.

"Insya-Allah sampai waktu dan ketika kita akan maklum.

"Kita akan buat Sidang DUN seperti mana negeri lain dan bila sampai waktu kita akan isytiharkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Berang, di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, selepas perbincangan itu, beliau akan menyembah maklum tarikh cadangan untuk mengadakan Sidang DUN kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapatkan perkenan memanggil sidang dewan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata Terengganu akan menerima vaksin dalam kuantiti yang banyak bermula Julai.

"Kalau tidak ada apa halangan mungkin dalam masa dua bulan setengah ini kita boleh capai 80 peratus vaksinasi di negeri ini," ujarnya.


Tag: