Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Terima Kasih Sudi Ziarah Kami - Rozita
SETIU, 25 September - "Terima kasih kerana sudi ziarah dan bantu kami," itulah ucapan ringkas Rozita Mohd, 36, semasa menerima kunjungan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.
Rozita yang menetap di Kampung Tanjung Kedepan nyata terharu dengan keprihatinan Mohd Shafizi Ismail menghulurkan sumbangan kepada orang kampung.
"Walaupun sibuk menyebarkan maklumat mengenai dasar Kerajaan Negeri kepada masyarakat, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit sempat juga meluangkan masa menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada kami," katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Mohd Shafizi berkata, program seperti itu amat bermanfaat untuk membantu meringankan bebanan masyarakat yang memerlukan.
Katanya, dengan kerjasama Norlan United, sebanyak 10 buah rumah yang terdiri daripada individu fakir, miskin dan diuji dengan sakit berjaya dibantu.
"Melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Maras, Wakaf Catur dan Tanjung Kedepan," jelasnya.
Selain ziarah, beliau turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan penduduk sekali gus bertanyakan tentang permasalahan dihadapi.
"Ini antara usaha agensi kerajaan negeri untuk bersama-sama menyumbang kepada masyarakat," katanya.