• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Teruskan Operasi Cegah Aktiviti Tidak Bermoral

KUALA NERUS, 25 Januari – Skuad Amar Makruf Kawasan Kuala Nerus akan terus melaksanakan operasi mencegah sebarang kegiatan tidak bermoral di daerah tersebut.

Ketua Skuad Amar Makruf Kawasan Kuala Nerus, Abdul Hadi Awang berkata, antara lokasi yang menjadi sasaran termasuk tapak tempat letak kereta Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Bandar Baharu Kuala Nerus, Pantai Seberang Takir dan tempat letak kereta awam.

"Tempat-tempat ini seringkali menjadi kegemaran pasangan kerana beranggapan tiada siapa yang perasan dan selamat daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
"Tumpuan tidak tertumpu hari-hari tertentu tetapi hari-hari biasa kita lakukan rondaan.

"Alhamdulillah, operasi ini berjalan dengan baik dan kita berjaya membuat pencegahan serta tangkapan dan diserahkan kepada pihak pejabat agama,” ujarnya kepada pemberita selepas operasi tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, orang awam yang ditemui turut meluahkan rasa kurang selesa dengan individu-individu yang melakukan perbuatan tidak bermoral di tempat awam.

Muhammad Hanif Izzuddin Mohammad Effendi, 25 berkata, dia pernah beberapa kali terserempak dengan pasangan kekasih yang berdua-duaan di dalam kereta di pantai Seberang Takir.

"Rasa tidak selesa dengan kelakuan pasangan dan lebih menyedihkan lagi ada dikalangan mereka masih di bawah umur. Kita tidak mahu ada yang melakukan aktiviti ini, jadi aduan telah dibuat kepada Skuar Amar Makruf dan kita semua perlu memainkan peranan bukan melihat sahaja.

"Pesanan saya, jangan buat tindakan sesuka hati, laporkan kepada pihak berkuasa dan ia mestilah berpandukan prosedur yang tetapkan. Manakala, ibu bapa pula perlu memainkan peranan memantau, mengawasi kegiatan serta gerak geri anak-anak," ujarnya.


 

.


Tag: