• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Teruskan SOP Ketat Demi Hulu Terengganu Kekal Hijau

HULU TERENGGANU, 10 November - Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat tetap diteruskan demi mengekalkan Hulu Terengganu sebagai daerah hijau yang bebas daripada wabak pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac sehingga sekarang semua agensi-agensi yang terlibat dalam penugasan COVID-19 di daerah sangat tegas dalam penugasan mereka.

"Kita akan terus gunakan dan kekalkan konsep sebelum ini kerana kita nampak keberkesanan operasi-operasi yang dilaksanakan.

"Manakala tahap kepatuhan warga masyarakat di Hulu Terengganu ini juga amat baik daripada permulaan hinggalah sekarang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah, hari ini.

Tambah beliau, sekitar 100 pegawai dan anggota polis terlibat yang akan dibantu sekurang-kurangnya 20 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk sekatan jalan raya(SJR) di Hulu Terengganu.

"Untuk itu kita telah mengadakan tiga SJR iaitu di kawasan Batu 18 Ajil-Wakaf Tapai, keduanya di sempadan Telemong- Manir dan ketiga adalah SJR bergerak.

"Tujuan SJR ini diadakan adalah untuk pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan yang sama ada masuk ataupun keluar ke kawasan daerah ini supaya mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan," ujarnya lagi.

Mohd Adli turut berkata, pihaknya juga mempunyai pasukan yang membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis dan tempat-tempat tumpuan orang ramai.

Katanya, pasukan pertama melibatkan gabungan agensi di mana pasukan ini dibahagikan kepada dua syif untuk siang dan waktu malam.

"Kita ada  tiga pasukan khas lagi dari PDRM yang melibatkan pegawai dan anggota polis sebagai pasukan task force.

"Mereka akan membuat pemeriksaan di pasar raya- pasar raya, premis-premis, bank-bank dan tempat-tempat orang ramai bagi tujuan memastikan pematuhan SOP dilaksanakan.

"Tujuan pasukan ini sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan yang melanggar syarat-syarat ataupun SOP PKPB ini maka tindakan kompaun dilapangan  akan terus diambil dan denda sebagaimana semua sedia maklum RM1,000 bagi setiap kompaun yang dikeluarkan," jelasnya.

Untuk rekod, sejak PKP pada 18 Mac sehingga sekarang, Hulu Terengganu menjadi satu-satunya daerah yang kekal sifar jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Sementara itu, polis Terengganu turut melakukan sekatan jalan raya selama 24 jam di 11 lokasi daripada 29 lokasi yang diaktifkan dan daripada jumlah itu, sekatan di 18 lokasi yang selebihnya dilaksanakan secara bergerak di seluruh daerah.

 


Tag: