• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Tiada Lagi Kelibat Syahida di SUKMA

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Atlet kanu berbakat besar Terengganu, Shahida Asyiqin Rusli, 18, membuat keputusan untuk meninggalkan Sukan Malaysia (SUKMA) meskipun menerima pujukan ramai pihak supaya kekal dalam karier terbabit.

Katanya, dia nekad berbuat demikian bagi memberi tumpuan dalam dunia pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi.

"SUKMA ke-20 baru-baru ini adalah yang terakhir dan memberikan kenangan manis kepada saya setelah berjaya memecah tiga rekod kebangsaan.

"Saya tidak menyangka akan mencapai kemenangan itu kerana saya tidak meletakkan harapan yang tinggi walaupun dimaklumkan dengan kejayaan ini saya boleh pergi ke peringkat yang lebih tinggi di sukan SEA.

"Namun, keputusan berhenti ini adalah muktamad, datang daripada diri sendiri, sebelum SUKMA lagi saya simpan nekad dan menyatakan ini merupakan penyertaan terakhir," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menerima insentif kemenangan di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu, SUKMA XX, MSN 2022, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Untuk rekod, Syahida merupakan penerima insentif terbanyak dengan jumlah keseluruhan diberikan oleh kerajaan negeri RM33,500.00 atas kejayaan memenangi empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.

Selain itu, dia turut menerima seutas jam tangan sukan berjemana Garmin, bernilai RM1,500.

Sementara itu, mengulas mengenai hasrat kerajaan negeri yang ingin menempatkannya di IPT Terengganu, Shahida Asyikin berkata dia sedang menunggu keputusan itu.

"Kalau masih tidak dapat akhir tahun ini, harapnya akan dapat menyambung pelajaran awal tahun hadapan, pertemuan dan perjumpaan sudah diadakan, tiada kata putus lagi.

"Saya memang berhasrat berlajar di IPT Terengganu sahaja,"katanya.

Untuk rekod, sukan kanu merupakan penyumbang pingat terbanyak dengan memperolehi lima emas, lapan perak dan 17 gangsa yang menerima insentif tertinggi keseluruhan dengan jumlah RM286,000.00 .

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu mengumumkan insentif sebanyak RM1,504,500 atas pencapaian terbaik dan dinobatkan sebagai Naib Juara dengan membawa pulang pingat sebanyak 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa.

Walaupun tidak dapat mengekalkan kejuaraan, namun Terengganu telah merekodkan kejayaan manis apabila mencatat rekod baru kutipan pingat serta menjadi juara keseluruhan bagi 10 acara sukan yang dipertandingkan selain berjaya memperolehi ibu segala pingat iaitu bola sepak.