• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin

KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Tiada masalah keciciran murid sekolah yang berlaku di Terengganu disebabkan kemiskinan keluarga terutamanya ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, semua pihak memainkan peranan dalam memastikan pelajar negeri ini dapat meneruskan pelajaran dengan baik.

“Kita sentiasa membuat pemantauan, tidak berbangkit isu keciciran pelajar ketika pandemik COVID-19 kerana pihak kerajaan, swasta, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lain-lain pihak sentiasa membantu termasuk menghulurkan sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa.

“Termasuk pemberian data internet, telefon pintar dan sebagainya ketika pelajar terpaksa mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, TER, hari ini.

Walau bagaimanapun Satiful berkata, tidak dinafikan kemungkinan terdapat pelajar yang masih tidak hadir ke sekolah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap situasi COVID-19 ketika ini.

“Tiada isu keciciran pelajar ini negeri ini. Kemungkinan yang tidak hadir sebab ibu bapa tidak mahu hantar lagi. Kita pun tidak ambil tindakan, kecuali calon peperiksaan seperti SPM, STPM mereka hadir untuk selesaikan sukatan,” ujarnya.