KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Terengganu International Bike Week (TIBW) 2026 sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara acara permotoran terbesar negara apabila berjaya menarik kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung dan pelancong ke Terengganu.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris di dalam ucapannya mewakili Menteri Besar Terengganu pada Majlis Makan Malam Gala dan Perasmian Penutup TIBW 2026 di Dataran Shahbandar, di sini, malam tadi.

Acara yang dianjurkan oleh East Coast Motorcycle (ECMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu tersebut turut menarik penyertaan antarabangsa membabitkan komuniti motosikal dari Thailand (200 buah motosikal), Singapura (40 buah motosikal), Brunei (10 peserta), Indonesia (15 peserta) serta Amerika Syarikat (seorang peserta).
Menurut beliau, sambutan luar biasa sepanjang lima hari itu menunjukkan TIBW bukan sekadar himpunan komuniti motosikal, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

"Saya percaya bikers bukan sekadar menunggang motosikal tetapi kalian adalah duta pelancongan bergerak kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
"Setiap gambar, video dan cerita perjalanan yang dikongsikan oleh kalian semua membantu memperkenalkan keindahan Terengganu kepada dunia," ujarnya.

"Saya harap selepas pada ini media sosial para-para bikers dipenuhi dengan gambar-gambar cantik Terengganu supaya lebih ramai lagi pada tahun hadapan, Tahun Melawat Terengganu Tahun 2027.
"Bila balik nanti bawa sekali cerita tentang Terengganu kepada kawan-kawan lain. Itu adalah promosi yang paling ikhlas dan paling berkesan," pesannya kepada pengunjung.
Turut hadir Pengasas ECMC, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad serta Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Dalam pada itu, Razali turut menyifatkan Terengganu sebagai negeri yang istimewa untuk komuniti penunggang motorsikal kerana memiliki laluan pesisir pantai sepanjang 244 kilometer yang menawarkan panorama menarik dari Kemaman hingga Besut.
"Di kiri laut, di kanan kampung tradisi. Di kanan laut, di kiri kampung tradisi. Itulah dia komuniti Terengganu.
"Ini yang kita nak jual kepada dunia, bahawasanya Terengganu kaya dengan alam semula jadi, insya-Allah," katanya lagi.
Beliau turut mengaitkan keindahan semula jadi itu dengan pengiktirafan yang diterima negeri berkenaan apabila tiga daerahnya tersenarai sebagai antara daerah paling bahagia.
Turut memeriahkan lagi penganjuran TIBW 2026, pihak penganjur menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM300,000, dengan Toyota Alphard sebagai hadiah utama.
Antara hadiah lain ditawarkan ialah sebuah Perodua Bezza, skuter elektrik, wang tunai terkumpul berjumlah RM15,000 serta pelbagai hadiah eksklusif lain yang menjadi tarikan kepada peserta.