• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tindakan Tegas Kepada Kontraktor

KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor pembersihan yang gagal memastikan kebersihan tandas awam di bandar raya itu berada pada tahap terbaik.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, pihak kontraktor perlu mematuhi kandungan surat perjanjian bagi mengelakkan dikenakan kompaun. 

"Menjadi tanggungjawab MBKT untuk memastikan bandar kita bersih, kalau rasa tidak mampu dan tidak selesa, tidak apa, tapi kami akan ambil tindakan.

"Banyak perkara yang perlu dibuat dalam aspek kebersihan untuk keselesaan pengunjung, kita akan buat apa yang kita patut buat tetapi dalam masa yang sama, semua pengguna juga bertanggungjawab menjaga kebersihan dan mengelakkan vandalisme," tegasnya. 

Rosli berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau tandas awam bersama Ahli Majlis di Pantai Batu Buruk, di sini semalam.

Rosli yang baru dilantik menjadi Datuk Bandar pada 1 Jun lalu menegaskan, aduan mengenai tandas awam sudah ditangani pihaknya.

"MBKT telah menghantar satu pasukan untuk menyelesaikan isu itu walaupun ia sudah menjadi tanggungjawab pihak kontraktor selepas kita swastakan, kita ambil langkah segera agar isu ini tidak berpanjangan," katanya.

Tegasnya, beliau akan sentiasa turun padang bagi meninjau aduan-aduan daripada orang ramai berkaitan perkhidmatan kemudahan awam yang dimiliki oleh MBKT. 

"Kita hendakkan kehidupan masyarakat yang sejahtera iaitu menunaikan tanggungjawab bersama, masyarakat juga bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan bandar kita," jelasnya.


Tag: